Monday, August 30, 2010

Bintang Segera?

Salam sejahtera, Vee harap semuanya sihat belaka disamping keluarga tersayang. Terasa penat secara fizikal dan juga mental bila balik dari lokasi penggambaran, Vee rasa bagai hendak baring dan tidak buat apa-apa, biarkan detik berlalu tanpa Vee perlu memikirkan apa-apa.

Tetapi sudah menjadi kebiasaan, walau penat macamanapun, Vee tetap melayan anak-anak yang meminta macam-macam sebelum tidur. Vee akur kerana walau seminit masa yang Vee ada bersama mereka, ianya akan tersemat di dalam diri mereka sampai bila-bila.


Suami juga sedang sibuk dengan mengimbangi kuliah dan juga kerjaya. Bukan mudah untuk bekerja sebagai pelakon dan menghadiri kuliah secara separuh masa. Komitmen dan daya fokus yang tinggi dituntut untuk seseorang itu berjaya. Tambah-tambah lagi bekerja sebagai pelakon yang semua sudah maklum jam bekerjanya tidak tetap dan panjang melebihi 12 jam sehari.

Vee juga masih mempertimbangkan beberapa pilihan untuk menyambung pelajaran. Vee dan suami lakukan ini untuk keluarga dan juga contoh kepada anak-anak supaya mempunyai inspirasi untuk mendapatkan kecemerlangan dalam akademik. Sesungguhnya kejayaan itu amat payah untuk dicapai dan usaha dan kepayahan itu yang akan menyebabkan sesuatu kejayaan itu dinikmati dengan lebih manis.



Vee merasakan kenikmatan itu semasa dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia yang ke 20 pada tahun 2007. Itulah anugerah yang Vee rasakan sangat terharu ketika menerimanya kerana selepas 13 tahun Vee menghambakan diri di industri, Vee memperolehi kemenangan itu. Tenaga dan jiwa Vee berikan untuk watak Azizah dalam The Red Kebaya dibalas dengan kenangan yang sungguh manis, tanpa ada sedikit pun sebenarnya harapan dari Vee semasa penggambaran dijalankan untuk dinobatkan anugerah yang tinggi.


Vee terpanggil untuk bercerita tentang usaha dan komitmen kerana kebelakangan ini, industri kita dibanjiri dengan program-program yang mahu melahirkan bakat melalui program realiti TV. Bakat-bakat yang dilahirkan mengecapi status bintang dengan segera. Banyak yang memberi komen tentang bintang-bintang segera ini, positif dan juga negatif. Masing-masing mempunyai pendapat, ada yang membina, ada yang tak beberapa membina dan tidak kurang juga yang begitu emosi memperkatakannya. Dan Vee tidak terlepas ditanyakan pendapat tentang perkara ini.


Bagi Vee, bakat-bakat baru sentiasa ada, menerusi program realiti TV atau pun tidak. Yang digilap bakatnya menerusi pengalaman atau tidak, melalui pendidikan formal atau tidak; tidak kira apa jua bidangnya dalam industri hiburan yang berbagai ini. Industri hiburan sentiasa ada, dan akan kekal selama-lamanya di sini, selagi ada manusia hidup di bumi ini. Pecungkilan bakat bukan wujudnya baru baru ini, sudah lama ianya ada. Ingat lagi Bintang RTM? Generasi sekarang mungkin tak tahu, tetapi sesiapa yang pernah melalui zaman kegemilangan dan prestijnya acara itu tahu pada dasarnya ianya sama dengan rancangan realiti TV yang ada sekarang ini. Adakah arwah seniman negara Sudirman dan juga penyanyi pop lelaki nombor 1 Malaysia Jamal Abdillah boleh dianggap bintang segera juga?


Bezanya, pada skala mana yang sanggup pihak penganjur keluarkan modalnya untuk mem’popular’kan rancangan mereka. Dan sejajar dengan kehendak dan permintaan pasaran, bakat-bakat baru ditagihi senantiasa. Produser mahukan pelakon baru, pengarah mahukan yang berpengalaman, tetapi sekiranya tiada diberi peluang dan juga pendedahan, seseorang itu tidak mungkin akan dapat pengalaman.


Dalam nyanyian, penyanyi yang mempunyai karisma, aura dan tarikan adalah mereka yang telah lama ada dalam bidang ini. Keyakinan diri menyerlahkan lagi penampilan dan ini datangnya dari pengalaman. Vee ingat lagi semasa Vee mula-mula berlakon, Vee juga rasa gugup dan takut. Semua orang akan rasa begitu semasa mula-mula mencuba sesuatu yang baru. Tetapi, lakonan telah mengubah Vee, dari mula-mula asalnya yang sekadar mahu mencuba sekarang ini telah menjadi cinta Vee, minat yang mendalam dan ianya sentiasa segar dalam diri. Vee akui, Vee gilakan pementasan, perasaan dan adrenalin yang mengalir ketika menjiwai watak di atas pentas memberikan Vee satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.


Niat dan halatuju kesemua yang berkecimpung dalam dunia hiburan ini secara kolektifnya mempunyai satu persamaan, mahu ‘mencuba’. Tetapi ditahap manakah percubaan itu dan cara untuk mendapatkannya. 20 atau 30 tahun yang lepas, mereka yang benar-benar cintakan seni persembahan mungkin dibatasi pilihannya kerana opsyennya terhad, dulu stesyen TV, radio dan juga tempat pementasan tidak sebegitu banyak dibandingkan dengan apa yang kita ada sekarang.

Begitu juga dengan tempat yang menawarkan pembelajaran dalam seni persembahan dan kreativiti juga terhad. Selari dengan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara dan sosio budayanya, ketika ini kita mempunyai banyak pilihan dalam bidang seni apa yang mahu diceburi. Kalau untuk mendapatkan ilmu yang mendalam dan diiktiraf, sektor pengajian tinggi awam dan juga persendirian begitu banyak terdapat di negara ini. Kita mempunyai banyak stesyen radio dan tv yang sentiasa meminta dan memerlukan isian atau material baru.


Pokok pangkalnya, bagi Vee, kelahiran bintang segera tidak memberikan apa-apa perbezaan kepada industri. Yang mendapat kejayaan adalah mereka yang bekerja keras, mempunyai daya saing yang tinggi dan mereka yang tahu apa mereka mahu dan bermotivasi dan fokus yang tinggi; bintang segera atau tidak. Anugerah dan pengiktirafan datang secara semulajadi kepada mereka setimpal dengan usaha.

Friday, August 27, 2010

Buat anak, buang anak...

Sering soalan yang diajukan kepada Vee adalah bagaimana Vee membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya. Jawapannya, bukan mudah!

Walau sesibuk mana sekalipun, Vee dan suami akan mencari jalan untuk meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak.

Bersalaman, berpelukan dan memberikan ciuman di waktu pagi sebelum ke sekolah, bersarapan bersama sambil bertanyakan perihal sekolah ataupun membaca buku cerita (bedtime stories) sebelum tidur adalah antara amalan yang Vee dan suami percaya akan membantu keyakinan dan kestabilan emosi anak-anak.

Vee percaya untuk anak-anak cemerlang, kita sebagai ibubapa jangan terlalu mendesak dengan meletakkan harapan yang menggunung kepada mereka. Kanak-kanak mempunyai cara mereka dan setiap kanak-kanak adalah individu tersendiri. Dengan mencurahkan kasih-sayang dan didikan, insyaallah, mereka akan membesar sebagai johan! Meminjam ‘motto’ popular di sekitar awal 80an yang digunakan oleh syarikat pengeluar susu tepung Dumex!

Terlalu banyak kes-kes penderaan kanak-kanak, buang bayi, anak-anak luar nikah yang tidak didaftar dan sebagainya telah Vee baca dilaporkan di dalam akhbar setiap hari. Perkara ini cukup membimbangkan. Ini tidak termasuk kes-kes jenayah yang semakin berleluasa yang dilaporkan saban hari di akhbar-akhbar harian.

Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Angka ini amat menyedihkan, dimana silapnya sehingga negara kita ini mempunyai angka statistik sedemikian rupa.

Sebagai ibu, Vee terpanggil untuk menyatakan perasaan bimbang tentang nilai-nilai moral dan kebudayaan dalam mencapai ke arah negara moden yang membangun. Dan Vee percaya bukan Vee seorang sahaja yang mempunyai perasaan ini.

Di dalam industri perfileman, setiap warkah atau hasilan adalah pembawa mesej. Samada ianya dirancangkan atau tidak, setiap filem yang terhasil mempunyai pengaruh terhadap penontonnya. Ianya adalah satu media yang amat berkuasa kerana ianya mepamerkan kehidupan.

Tentunya filem-filem barat menjadi tontonan utama para remaja dan muda-mudi. Hiburan tidak menjadi masaalah sekiranya kita tahu akan batasan kita.

Tetapi penonton kita seharusnya tahu sesungguhnya budaya kita dan budaya barat memang jauh berbeza. Kita mempunyai batas-batas agama dan nilai-nilai murni moral yang dijaga untuk kesejahteraan bersama.

Dibandingkan dengan barat, nilai moral mereka berubah-ubah mengikut desakan laungan kebebasan bersuara mereka. Jadi apa yang dianggap di sini dari dulu lagi sebagai satu larangan, di mata mereka mungkin tidak.

Filem-filem karya kita lewat ini banyak mempamerkan isu-isu gejala sosial dan ada yang ditangani dengan ilmiah dan ada yang setakat untuk mengaut keuntungan. Gejala rempit dimartabatkan, ‘gangsterisme’ diagungkan. Tidak dinafikan, ianya mungkin dihasilkan di atas tiket ‘hiburan’ semata-mata. Tidak dinafikan juga, itu yang ditagihkan oleh penonton filem melayu kerana filem sebegini yang mendapat jualan tiket yang tinggi.

Penonton mesti tahu untuk membezakan apa yang baik dan apa yang tidak. Sebagai pembikin filem, apa yang dihasilkan adalah seni, dan lazim setiap karya seni yang dihasilkan adalah tiada yang salah dan tiada yang betul. Ianya adalah subjektif, terpulang kepada inividu untuk menafsirnya.

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menuding jari terhadap isu keruntuhan moral pada remaja sekarang terhadap sesuatu bidang sahaja, ianya adalah tanggungjawab bersama, tanggungjawab semua. Perfileman akan sentiasa ada di sini, akan sentiasa hidup. Untuk pengkarya filem dan apa jua bentuk penerbitan hiburan, kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap pembangunan sosial dan budaya.

Jadi, jangan letakkan kesalahan itu di atas bahu sesiapa, sesungguhnya, kita semua secara bersama bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Semoga kita semua mendapatkan keredhaan dan keberkatan dari segala apa yang kita lakukan.

Salam sejahtera.

Vanidah Imran

(Vee boleh dihubungi di laman FaceBook - Vanidah Imran FC)

Tuesday, March 9, 2010

Viva Vee! Artikel Kedua Di Akhbar Mingguan Mstar 7/3/10


Salam semua, apa khabar? Diharap semua sihat sejahtera dan bagi yang mempunyai anak-anak pastinya sedang sibuk dengan minggu ujian anak-anak di sekolah. Vee juga tidak terkecuali, sesibuk mana sekalipun, hal ehwal anak-anak tetap menjadi keutamaan. Apatah lagi buat masa ini Vee sedang sibuk dengan penggambaran telenovela ‘Isabella’, sebuah drama bersiri 26 episod untuk Astro Prima, bergandingan dengan ‘Shah Rukh Khan’ Malaysia, Rosyam Nor.

Dan juga pelakon-pelakon berkaliber lain antaranya Dato Rahim Razali, Fauziah Nawi dan ramai lagi. Dengan barisan pelakon yang mantap, sentuhan pengarah drama prolifik Amie Maziah dan krew produksi dan teknikal yang cukup profesional, terasa sangat teruja.

Melebarkan sayap ke persada antarabangsa adalah antara topik perbualan yang sering dibicarakan atau diguraukan. Dengan lambakan drama-drama dan telenovela dari luar seperti Indonesia, Filipina dan Amerika Latin ditayangkan oleh stesen tv tempatan membuatkan saya tertanya apakah drama dan juga telenovela terbitan tempatan mempunyai peluang untuk dipasarkan di luar.

Mungkin ada mungkin juga tidak diketahui, tetapi bila ditanyakan kepada rakan-rakan produser, jawapan tidak begitu memberangsangkan memandangkan stesen-stesen tv membeli sepenuhnya hakcipta terpelihara dari penerbit. Ke arah globalisasi, itulah antara tema atau cita-cita yang sering dilaungkan tetapi bagaimanakah untuk merealisasikan impian ini?

Walaupun sudah banyak filem kita yang telah ke persada antarabangsa, dan tidak kurang juga hebatnya pengarah dan pelakon kita yang telah mendapat pengiktirafan di luar negara tetapi belum ada yang betul-betul menyengat.

Tahun ini juga ada beberapa filem yang dengar khabarnya akan mencuba nasib di luar negara antaranya, Merong Mahawangsa (Yusry KRU), Apallam (Afdlin Shauki) Hanyut (U-Wei) dan banyak lagi. Baru-baru ini Hans Isaac telah diberi peluang untuk menjayakan sebuah filem Filipina. Dan dengar khabar juga Carmen Soo adalah nama besar di Filipina.

Semoga pengalaman mereka bekerja dengan pihak luar dapat membuka mata dan peluang kepada karyawan tempatan. Pastinya ramai artis kita yang sering mencari peluang untuk mencipta nama di luar. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Tetapi bagaimana pula nasib drama-drama terbitan tempatan. Tidak dapat di nafikan, banyak drama-drama kita yang berkualiti, malahan lebih berkualiti dari telenovela luar yang ditayangkan di sini. Cuma masalahnya, pasaran drama tempatan yang hanya dibeli oleh pihak stesen tv tempatan, kerajaan mahupun swasta, mempraktiskan perkara yang sama, iaitu membeli penerbitan dan hakcipta terpeliharanya secara menyeluruh (Allrights).

Jadi ini membuatkan hanya pihak stesen sahaja yang boleh dan berkemampuan untuk memasarkan ke luar sekiranya mereka mahu. Pihak penerbit yang menerbitkan produk-produk mereka hanya menerbitkan sahaja dan terpaksa melihat drama-drama hasilan mereka diperam begitu sahaja selepas ditayangkan di tv.

Mungin saranan oleh penerbit untuk pihak stesen memegang hak tayangan selama 2 tahun sahaja boleh memberikan dimensi baru untuk para penerbit berbandingkan hak tayangan dipegang selamanya oleh stesen. Sekurang-kurangnya, pihak penerbit bermotivasi untuk meningkat kualiti dan daya saing antara satu sama lain untuk menghasilkan drama yang bermutu, kerana mereka tahu pasaran mereka lebih luas selepas dua tahun ditayangkan di stesen tempatan.

Justeru ianya dapat membesarkan industri filem dan penerbitan tanahair dan ini bermakna ianya baik untuk sosio-ekonomi negara. Tetapi ini hanya boleh direalisasikan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk berkompromi untuk keuntungan bersama.

Vee berharap semoga industri perfileman dan penerbitan drama tanahair boleh dipanggil ‘industri’ dalam ertikata yang sebenar suatu hari nanti. Dan diharap juga peminat seni tempatan dapat menyokong industri kita sendiri dengan lebih tegar sebagaimana peminat seni di Indonesia ataupun Thailand yang begitu berbangga dan menyokong produk mereka. Vee percaya kita berada dilandasan yang betul, dan sekiranya disokong dan diberi peluang sepenuhnya oleh orang kita sendiri, industri perfileman kita boleh berada ke tahap yang lebih tinggi dan tidak mustahil mendapat lebih kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sehingga ketemu lagi di minggu hadapan, salam sejahtera!

Vanidah.

Wednesday, March 3, 2010

Viva Vee! Artikel Pertama Di Akhbar Mingguan Mstar 28/2/10


Salam sejahtera kepada semua pembaca dan salam pengenalan dari saya seikhlas hati. Saya menulis buat pertama kalinya sepanjang umur hidup saya untuk tatapan umum. Siapa sangka sejarah ini sejajar dengan penerbitan sulung suratkhabar Mstar; satu penghargaan yang tidak ternilai bagi diri saya. Satu lagi langkah yang mengorak perjalanan dan pencapaian bagi diri saya secara peribadi, sudah tentu satu pencapaian yang saya rasa cukup terharu dan berbangga kerana kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengarang kepada diri yang kerdil ini untuk menulis dalam ruangan yang tersendiri.

Umum memang tidak mengenali saya dengan dekat kerana itulah pendirian diri saya dari dulu lagi untuk menghadkan dari menjaja cerita peribadi. Alhamdulillah, peminat menerima saya seadanya dan dengan berkat sokongan dari semua saya mencapai apa yang saya ada sekarang ini. Tidak dapat saya membalas segala apa yang telah diberikan, semangat yang disuntik untuk terus berkarya sebagai anak seni; hanya Tuhan yang Maha Esa yang dapat membalas budi anda semua.

Gelaran ‘Perempuan Melayu Terakhir’ adalah satu jolokan nama yang begitu kuat kepada diri saya. Sinonim dengan persepsi itu, saya terus dipahat di mata dan hati peminat sebagai ‘ikon’ seorang perempuan melayu. Apa yang anda tidak tahu adalah saya sebenarnya seorang yang amat ‘adventurous’, bertentang dengan ‘idealistik’ perempuan melayu. Tetapi bagi saya, itulah cabaran bagi setiap perempuan melayu sekarang ini dimana kami harus mengimbangi ciri-ciri kelembutan perempuan melayu, peradaban timur, peradaban agama dan tuntutan arus permodenan. Siapa kata wanita itu hidupnya tak mencabar?

Buat anda semua perempuan timur, tidak kira bangsa atau agama, kita patut berbangga dengan akar umbi kita, asal usul kita, apa yang kita pegang selama ini. Biarlah masa beredar selajunya membawa kita ke hadapan, tetapi jangan biarkan kerana terpahat dengan satu pegangan kita ditakuk dan tertinggal ke belakang. Kita juga boleh menjadi moden tanpa menggadai peradaban kita, bukan begitu?

Terima kasih sekali lagi kepada sidang pengarang dan anda semua yang tidak jemu menyokong saya. Maaf dari saya sekiranya ada mengguris hati. Insyaallah, kita berjumpa lagi minggu hadapan.

Ikhlas

Vanidah Imran

(Saya boleh dihubungi di Facebook – Vanidah Imran FC)

Saturday, February 27, 2010

Isabella



Salam semua!!

Terbaru Vee sedang menjayakan penggambaran drama bersiri 'Isabella' yang akan ditayangkan di saluran Astro. Penggambaran sedang rancak berjalan, lokasi terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan akan diadakan di Dubai, London dan Paris. Vee berlakon disamping Rosyam Nor, Dato Rahim Razali dan ramai lagi. Nantikan tayangannya!