Monday, August 30, 2010

Bintang Segera?

Salam sejahtera, Vee harap semuanya sihat belaka disamping keluarga tersayang. Terasa penat secara fizikal dan juga mental bila balik dari lokasi penggambaran, Vee rasa bagai hendak baring dan tidak buat apa-apa, biarkan detik berlalu tanpa Vee perlu memikirkan apa-apa.

Tetapi sudah menjadi kebiasaan, walau penat macamanapun, Vee tetap melayan anak-anak yang meminta macam-macam sebelum tidur. Vee akur kerana walau seminit masa yang Vee ada bersama mereka, ianya akan tersemat di dalam diri mereka sampai bila-bila.


Suami juga sedang sibuk dengan mengimbangi kuliah dan juga kerjaya. Bukan mudah untuk bekerja sebagai pelakon dan menghadiri kuliah secara separuh masa. Komitmen dan daya fokus yang tinggi dituntut untuk seseorang itu berjaya. Tambah-tambah lagi bekerja sebagai pelakon yang semua sudah maklum jam bekerjanya tidak tetap dan panjang melebihi 12 jam sehari.

Vee juga masih mempertimbangkan beberapa pilihan untuk menyambung pelajaran. Vee dan suami lakukan ini untuk keluarga dan juga contoh kepada anak-anak supaya mempunyai inspirasi untuk mendapatkan kecemerlangan dalam akademik. Sesungguhnya kejayaan itu amat payah untuk dicapai dan usaha dan kepayahan itu yang akan menyebabkan sesuatu kejayaan itu dinikmati dengan lebih manis.



Vee merasakan kenikmatan itu semasa dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia yang ke 20 pada tahun 2007. Itulah anugerah yang Vee rasakan sangat terharu ketika menerimanya kerana selepas 13 tahun Vee menghambakan diri di industri, Vee memperolehi kemenangan itu. Tenaga dan jiwa Vee berikan untuk watak Azizah dalam The Red Kebaya dibalas dengan kenangan yang sungguh manis, tanpa ada sedikit pun sebenarnya harapan dari Vee semasa penggambaran dijalankan untuk dinobatkan anugerah yang tinggi.


Vee terpanggil untuk bercerita tentang usaha dan komitmen kerana kebelakangan ini, industri kita dibanjiri dengan program-program yang mahu melahirkan bakat melalui program realiti TV. Bakat-bakat yang dilahirkan mengecapi status bintang dengan segera. Banyak yang memberi komen tentang bintang-bintang segera ini, positif dan juga negatif. Masing-masing mempunyai pendapat, ada yang membina, ada yang tak beberapa membina dan tidak kurang juga yang begitu emosi memperkatakannya. Dan Vee tidak terlepas ditanyakan pendapat tentang perkara ini.


Bagi Vee, bakat-bakat baru sentiasa ada, menerusi program realiti TV atau pun tidak. Yang digilap bakatnya menerusi pengalaman atau tidak, melalui pendidikan formal atau tidak; tidak kira apa jua bidangnya dalam industri hiburan yang berbagai ini. Industri hiburan sentiasa ada, dan akan kekal selama-lamanya di sini, selagi ada manusia hidup di bumi ini. Pecungkilan bakat bukan wujudnya baru baru ini, sudah lama ianya ada. Ingat lagi Bintang RTM? Generasi sekarang mungkin tak tahu, tetapi sesiapa yang pernah melalui zaman kegemilangan dan prestijnya acara itu tahu pada dasarnya ianya sama dengan rancangan realiti TV yang ada sekarang ini. Adakah arwah seniman negara Sudirman dan juga penyanyi pop lelaki nombor 1 Malaysia Jamal Abdillah boleh dianggap bintang segera juga?


Bezanya, pada skala mana yang sanggup pihak penganjur keluarkan modalnya untuk mem’popular’kan rancangan mereka. Dan sejajar dengan kehendak dan permintaan pasaran, bakat-bakat baru ditagihi senantiasa. Produser mahukan pelakon baru, pengarah mahukan yang berpengalaman, tetapi sekiranya tiada diberi peluang dan juga pendedahan, seseorang itu tidak mungkin akan dapat pengalaman.


Dalam nyanyian, penyanyi yang mempunyai karisma, aura dan tarikan adalah mereka yang telah lama ada dalam bidang ini. Keyakinan diri menyerlahkan lagi penampilan dan ini datangnya dari pengalaman. Vee ingat lagi semasa Vee mula-mula berlakon, Vee juga rasa gugup dan takut. Semua orang akan rasa begitu semasa mula-mula mencuba sesuatu yang baru. Tetapi, lakonan telah mengubah Vee, dari mula-mula asalnya yang sekadar mahu mencuba sekarang ini telah menjadi cinta Vee, minat yang mendalam dan ianya sentiasa segar dalam diri. Vee akui, Vee gilakan pementasan, perasaan dan adrenalin yang mengalir ketika menjiwai watak di atas pentas memberikan Vee satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.


Niat dan halatuju kesemua yang berkecimpung dalam dunia hiburan ini secara kolektifnya mempunyai satu persamaan, mahu ‘mencuba’. Tetapi ditahap manakah percubaan itu dan cara untuk mendapatkannya. 20 atau 30 tahun yang lepas, mereka yang benar-benar cintakan seni persembahan mungkin dibatasi pilihannya kerana opsyennya terhad, dulu stesyen TV, radio dan juga tempat pementasan tidak sebegitu banyak dibandingkan dengan apa yang kita ada sekarang.

Begitu juga dengan tempat yang menawarkan pembelajaran dalam seni persembahan dan kreativiti juga terhad. Selari dengan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara dan sosio budayanya, ketika ini kita mempunyai banyak pilihan dalam bidang seni apa yang mahu diceburi. Kalau untuk mendapatkan ilmu yang mendalam dan diiktiraf, sektor pengajian tinggi awam dan juga persendirian begitu banyak terdapat di negara ini. Kita mempunyai banyak stesyen radio dan tv yang sentiasa meminta dan memerlukan isian atau material baru.


Pokok pangkalnya, bagi Vee, kelahiran bintang segera tidak memberikan apa-apa perbezaan kepada industri. Yang mendapat kejayaan adalah mereka yang bekerja keras, mempunyai daya saing yang tinggi dan mereka yang tahu apa mereka mahu dan bermotivasi dan fokus yang tinggi; bintang segera atau tidak. Anugerah dan pengiktirafan datang secara semulajadi kepada mereka setimpal dengan usaha.

7 comments:

Yong Taufu said...

Salam Aidilfitri kak vee..raya tahun ni balik mana?..

All d best to you & abg CD.. setiap usaha pasti akan ada hasilnya kelak. Smoga azam & cita2 kak vee akan tercapai..good luck..

ninnah shafawati said...

salam....
kak vee makin cantik.
ape rahsianya utk penjagaan kulit wajah?
sweet sangat ^_^

globetrotter said...

Salaam !

Saya memang meminati lakonan Vee adan Shidi. !

Yang paling saya ingat adalah drama sempena Hari Raya Korban 2008....dalam drama tu Vee melakonkan watak Siti Fatimah dan beliau terkenang kan sahabat sepermainan nya Leman. Apa nama drama tu? Boleh saya dapatkan CD nya? Kalau tak silap saya, ia ditayangkan di TV3

Anonymous said...

smalam terserempak vee di tgv, klcc. nampak muda, berseri and kulit yang cerah n mulus. apa rahsia vee?

akuzle ayu said...

salam, k vee... wow! x sangka k vee n abg cd pon ado blog.. kagum gaks coz abg cd ngah further studies.. baguslaa, kak kalo mcm tuh.. ank2 neh mmg akan ikut model yg plng dekat iaitu ibu bapa mereka. baik contoh yg ditunjukkan, baiklah jdnyer. begitu juga sebaliknya.keep on trying to b the best parents 4 your children, coz we lack of those ppl nowdays. good luck 2 both k vee n abg cd..

akuzle ayu said...

salam, k vee... wow! x sangka k vee n abg cd pon ado blog.. kagum gaks coz abg cd ngah further studies.. baguslaa, kak kalo mcm tuh.. ank2 neh mmg akan ikut model yg plng dekat iaitu ibu bapa mereka. baik contoh yg ditunjukkan, baiklah jdnyer. begitu juga sebaliknya.keep on trying to b the best parents 4 your children, coz we lack of those ppl nowdays. good luck 2 both k vee n abg cd..

viruspadu said...

Salam

Betul tu vee, dalam apa pun bidang yang kita ceburi, yang penting adalah usaha dan kerja keras untuk berjaya kan :)

Semoga vee terus berjaya

dan saya amat meminati lakonan vee