Monday, August 15, 2011

2 Minggu Sudah!

Pejam celik, pejam celik, dah 2 minggu kita berpuasa! Fuyoo! Cepat betullah masa berlalu. Bersahur, solat subuh, tidur kejap, lepas tu kerja sampai berbuka; lepas berbuka solat maghrib lepas tu terawih! Balik rumah tidur jap, 'cuba' bangun solat tahajjud (yang selalunya terus tidur sebenarnya! hehe) lepas tu kitaran bermula lagi. Ramadhan ni alhamdulillah lagi penuh rasanya aktiviti yang membuatkan diri kita lebih sihat, rohani dan jasmani. Makan pun sedap-sedap!

Mengomel tentang makanan pada bulan puasa ni, saya tengok ramai betul peniaga yang ambil peluang untuk berniaga di pasar ramadhan. Saya selalu melewati Desa Pandan dan hari-hari saya nampak pasar ramadhannya sungguh meriah! Penuh dengan pengunjung sampai sesaklah lalulintas jalanraya akibat kenderaan diletak di kiri kanan bahu jalan! Sampai ada yang naik ke atas bahu jalan! Saya tak pernah pergi pun sebab saya sekeluarga ni suka makan makanan yang 'simple'. Apatah lagi bulan puasa, Vee memang akan masak bubur untuk saya hari-hari. Lauk pun simple, setakat ikan bilis goreng kicap! Saya tak suka makan berlebihan dan itulah menu harian saya sampai Vee kadang-kadang risau tak bosan ke..jawapannya tak, sebab bubur isteri saya nombor satu! hehe.

Berbuka mesti di rumah! Itu yang saya cuba lakukan, sebab saya nak makan sekali dengan seluruh keluarga. Al-maklumlah, kesibukan tugasan menyebabkan kami ni laki bini selalu tak dapat menghabiskan 'masa-berkualiti' bersama keluarga. Anak-anak memang selalu merungut. Sampai anak lelaki saya pernah cakap dia rasa dirinya macam anak yatim yang tiada mak ayah! Aduss...bahaya tu, anak dah mula 'komplen'! Jadi setiap tahun memang bulan Ramadhan saya amat menunggu kedatangannya, bukan sahaja sebab saya berpeluang untuk beribadah lebih tetapi saya rasa saya dapat hidup macam orang yang 'normal'. Bukan nak kata saya ni tak normal (ikutkan memang tak normal pun), cuma jadual kerja orang-orang seni tempatan yang selalu ghairah untuk berkarya sampai lupa batas diri manusia yang mampu bertahan untuk beroperasi secara 'optimum' itu hanyalah 8-10 jam sehari. Dan kat mana lagi industri perfileman yang sedang berkembang dengan pesat sampai lupakan yang tenaga kerjanya perlu rehat, melainkan di Malaysia? Cer cerite, cer cerite!

Jadi atas dasar itulah saya dan Vee cuba jadi manusia normal pada bulan Ramadhan setiap tahun untuk cuba berbuka dan menikmati makan malam bersama, solat berjemaah bersama, bersantai ataupun tolong menyiapkan kerja rumah anak-anak bersama dan naik tidur ke bilik pun sama-sama. Haaa..barulah dikatakan kehidupan berkeluarga yang normal dan harmoni!

Berbalik pada pasar juadah ramadhan Desa Pandan, adalah sekali saya terpaksa pergi sebab bonda saya kepinginkan nasi kerabu. Jadi sebagai anak yang tidak mahu derhaka, saya pun pergilah dengan sang isteri yang setia ke pasar ramadhan Desa Pandan yang penuh sesak dengan manusia kelaparan, yang cuba berlawan dengan nafsu haloba yang cuba menguasai diri! (hehe..'over' la mamat ni!) Ya, seperti yang saya jangkakan, kehadiran sang isteri yang setia sebenarnya menambahkan kesukaran untuk mendapatkan apa yang diingini apabila hampir kesemua peniaga dan pengunjung menegurnya dan bertanya khabar persis seorang YB melawat kawasan. Dan tidak menolong juga bila sang isteri yang setia juga amat peramah dan tidak lokek senyuman. Boleh, bukan tak boleh, tapi taklah tinggal lagi berapa minit nak berbuka! 

Dapatlah jugak nasi kerabu dan sedikit kuih-muih yang nak dibawa bersama ke rumah adinda saya di mana bonda saya tengah menunggu nasi kerabu yang nampak sungguh lazat! Dipendekkan cerita, saya dan keluarga terlambat sedikit, jadi bonda saya dah berbuka dan dah kenyang dengan apa yang dimakan sebelum saya tiba. Saya sedikit ralat, jadi saya sendiri yang makan nasi kerabu tersebut! Itupun lepas saya makan semangkuk bubur yang sang isteri setia saya bawa dari rumah! Muahaha...

Wassalam




4 comments:

IeRa said...

SELAMAT BERPUASA.. ;)

Rashidi Ishak Vanidah Imran said...

Selamat berpuasa dan bertarawih! :)

(¯`’•.¸*♫♪♥αιzαт-αzнαr♥♫♪*¸.•’´¯) said...

saya tahu blog awak pun dari surat khabar... hehe
~selamat berpuasa~

Rashidi Ishak Vanidah Imran said...

hehe..selamat berpuasa!